Friday 21 November 2014

Kes Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan [dan Tuntutan ke atas Sabah] di Mahkamah Keadilan Antarabangsa

PENDAHULUAN

Pada tahun 1996, buat pertama kali dalam sejarah Asia Tenggara, dua negara berjiran bersama-sama bersetuju untuk menyelesaikan secara aman satu pertikaian wilayah yang emotif di antara mereka, menerusi penglibatan satu pihak ketiga dan berasaskan undangundang antarabangsa. Pada tahun itu, Malaysia dan Indonesia bersetuju menyerahkan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan untuk dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

Kes pertama dari Asia Tenggara yang dihadapkan kepada Mahkamah itu dalam tahun 1959 bukan hasil persetujuan yang dicapai bersama. Pada masa itu, Cambodia secara bersendirian telah memohon kepada Mahkamah supaya mengisytiharkan Kuil Preah Vihear, yang terletak di sempadan dengan negara jirannya, adalah milik Cambodia dan bukannya milik Thailand. Dalam tahun 1962, Mahkamah membuat keputusan bahawa tuntutan Cambodia itu adalah betul.

Kes Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan telah menjadi lebih bererti bagi Malaysia, walaupun bukan dirancang, setelah isu tuntutan Filipina terhadap Sabah timbul di Mahkamah pada masa yang sama dan ICJ membuat keputusan, walaupun secara tidak langsung, bahawa Filipina tidak mempunyai kes untuk membuat sebarang tuntutan ke atas Sabah.

SEJARAH PERTIKAIAN DI ANTARA MALAYSIA DAN INDONESIA

Status Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan mula menjadi isu pada tahun 1969 apabila Indonesia, semasa perundingan dengan Malaysia mengenai pembatasan sempadan pentas benua di antara kedua negara, mempertikaikan kedaulatan Malaysia terhadap kedua-dua pulau berkenaan.

Di antara tahun 1992 dan 1994, tiga pusingan perbincangan tidak rasmi telah diadakan di antara pegawai-pegawai Malaysia dan Indonesia untuk menyelesaikan isu tersebut tetapi perbincangan itu tidak mencapai sebarang kejayaan.

Dalam bulan September 1994, Dr. (Tun) Mahathir Mohamad dan Presiden Soeharto, setelah mengambil kira bahawa perbincangan di peringkat pegawai telah tidak mencapai sebarang kemajuan, bersetuju supaya perbincangan tersebut diteruskan oleh wakilwakil peribadi masing-masing. Untuk melaksanakan tugas itu, Perdana Menteri Mahathir melantik Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, sementara Presiden Soeharto melantik Moerdiono, Menteri/ Setiausaha Negara.

Anwar dan Moerdiono bertemu sebanyak empat kali: Julai 1995 (di Jakarta), September 1995 (di Kuala Lumpur), September 1995 (di Jakarta) dan Jun 1996 (di Kuala Lumpur).

Di akhir pertemuan kali keempat, Timbalan Perdana Menteri Anwar dan Menteri Moerdiono, berpandukan syor yang telah dibuat kepada mereka oleh pegawai-pegawai yang terlibat dalam siri perbincangan tidak rasmi sebelum itu, bersetuju untuk mengesyorkan kepada Perdana Menteri Mahathir dan Presiden Soeharto, supaya kedua-dua pemimpin mempertimbangkan dan meluluskan agar Malaysia dan Indonesia memohon kepada ICJ untuk memutuskan soal negara mana yang sebenarnya mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan. Kedua-dua wakil juga bersetuju untuk mengesyorkan kepada kedua-dua pemimpin bahawa sebarang keputusan ICJ dalam hal ini hendaklah diterima oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Indonesia sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.

PERSETUJUAN UNTUK MERUJUK PERTIKAIAN ITU KE ICJ

Pada Oktober 1996, ketika mereka bertemu di Kuala Lumpur, Dr. (Tun) Mahathir Mohamad dan Presiden Soeharto bersetuju supaya isu kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan dirujuk ke ICJ.

Oleh sebab kedua-dua Malaysia dan Indonesia bukan penandatangan Statut ICJ, satu Perjanjian Khas antara mereka adalah diperlukan apabila keduanya berkeinginan membenarkan ICJ menyelesaikan pertikaian mereka. Berikutan itu, dua pusingan mesyuarat rasmi telah diadakan bagi merundingkan teks Perjanjian Khas bertujuan menyerahkan kes ini kepada ICJ untuk menyelesaikan pertikaian di antara Malaysia dan Indonesia mengenai kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan.

Pusingan pertama telah diadakan di Kuala Lumpur (Januari 1997) dan pusingan kedua di Bandung (April 1997). Semasa pusingan kedua, kedua-dua belah pihak mencapai konsensus ke atas teks Perjanjian. Di dalam kata-kata penutup beliau di mesyuarat tersebut, Ketua Delegasi Malaysia memberi pengiktirafan kepada Presiden Soeharto yang telah memainkan peranan yang besar dalam memudahkan mencari jalan penyelesaian secara aman. Presiden Soeharto telah membuat kenyataan tentang betapa pentingnya menyelesaikan isu Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan supaya tidak membebankan generasi akan datang dengan satu isu yang tidak selesai yang boleh menjadi bertambah buruk pada masa hadapan jika tidak diselesaikan dengan aman pada masa sekarang. Pada 31 Mei 1997, Perjanjian Khas berkenaan telah ditandatangani oleh Menteri Luar Negeri Malaysia (Abdullah Ahmad Badawi) dan Indonesia (Ali Alatas).[1]

Susulan itu, dan seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perjanjian Khas, Malaysia dan Indonesia secara serentak menyerahkan kepada ICJ tiga pusingan memorandum bertulis berkenaan kes masing-masing: Memorial (2 November 1999), Memorial Balas (2 Ogos 2000), dan Memorial Jawapan (2 Mac 2001).

Perbicaraan Lisan bagi Kes Mengenai Kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan (Indonesia/Malaysia) telah dijalankan oleh ICJ di The Hague dari 3 hingga 12 Jun 2002.

[1] Perjanjian Khas Untuk Menyerah Kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa Pertikaian Di Antara Malaysia dan Indonesia Mengenai Kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, 31 Mei 1997.

ASAS KES INDONESIA

Indonesia telah menegaskan bahawa ia telah memperoleh hak milik ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan berasaskan perjanjian antarabangsa, iaitu melalui Konvensyen Inggeris-Belanda 1891 antara Great Britain dan Netherlands. Perjanjian itu, katanya, telah menerangkan di mana terletaknya sempadan yang membahagikan pemilikan harta antara Belanda dan British di atas Pulau Borneo. Indonesia mendakwa Artikel IV Konvensyen 1891 itu membawa maksud bahawa garisan sempadan di atas tanah di latitud 4°10’ Utara boleh dipanjangkan ke arah laut, dan apabila dibuat demikian Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan akan terlihat terletak di sebelah bawah garisan tersebut, dan maka dengan itu adalah terletak di sebelah kawasan Indonesia.

Artikel IV Konvensyen 1891 itu berbunyi seperti berikut:

“Dari titik 4°10’ Utara Latitud di pantai timur garisan sempadan itu akan diteruskan ke (arah) timur mengikut garisan lintang itu, merentasi Pulau Sebittik; bahagian pulau yang terletak di sebelah utara daripada garisan lintang tersebut akan menjadi hak milik mutlak Syarikat Borneo Utara British, dan bahagian di sebelah selatan daripada garisan lintang itu menjadi hak milik Netherlands.” [2]

Malaysia mempertikaikan tafsiran Indonesia terhadap Artikel IV Konvensyen 1891, dan menegaskan bahawa garisan sempadan berkenaan berakhir di pantai timur Pulau Sebatik, dan tidak berterusan di atas lautan. Perjanjian itu sendiri tidak merujuk kepada sebarang peta dan tiada apa-apa peta yang dilampirkan kepada Perjanjian itu. Hujah-hujah Malaysia adalah berasaskan makna sebenar perkataan-perkataan yang digunakan di dalam Perjanjian itu. Dan perkataan-perkataan dalam Perjanjian itu membawa maksud bahawa garisan sempadan berkenaan tidak berterusan jauh ke timur hingga sampai ke laut.

Oleh yang demikian, Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan bukannya terletak di sebelah selatan daripada sebarang garisan sempadan kerana garisan sempadan yang dikatakan wujud hanyalah teori yang dikemukakan oleh Indonesia.

[2] Memorial Malaysia, Jilid 1, Perenggan 8.4.

KES MALAYSIA BERLANDASKAN DUA ASAS

Malaysia mewarisi hak milik secara turun-temurun Mengenai asas pertama, Malaysia berhujah bahawa ia dan kerajaan sebelumnya telah memperoleh hak milik yang sah ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan menerusi satu siri perjanjian dengan negara-negara lain yang berkepentingan di kawasan itu. Perjanjian-perjanjian tersebut termasuklah penyerahan hak dan penyerahan kuasa 1878 ke atas sebahagian daripada tanah dan wilayah di Pulau Borneo yang dilakukan oleh Sultan Sulu kepada Alfred Dent dan Baron von Overback selaku wakil sebuah syarikat British. Kemudian, hak milik British ke atas Borneo Utara diiktiraf oleh Negara Sepanyol pada tahun 1885, oleh Negara Belanda pada tahun 1891 dan oleh Amerika Syarikat pada tahun 1930. Akhir sekali, Sabah, termasuklah Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Malaysia mempunyai hak milik kerana melaksanakan berbagai effectivites

Mengenai asas kedua, Malaysia menyatakan bahawa ia telah mengemukakan beberapa bukti, di dalam memorandum bertulis dan juga semasa perbicaraan lisan, bahawa Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan sebenarnya merupakan hak milik dan tertakluk kepada pentadbiran Malaysia dan juga kerajaan sebelumnya semenjak tahun 1878. Adalah mustahil bagi Indonesia untuk mengemukakan sebarang bukti serupa dengan itu.

HUJAH ALTERNATIF INDONESIA

Pada hari terakhir gilirannya untuk berhujah di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah, Indonesia mengemukakan satu asas alternatif dan subsidiari iaitu, jika ICJ mendapati bahawa Konvensyen 1891 tidak mampu mengurniakan kepada Negara Belanda/Indonesia kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, Mahkamah boleh membuat keputusan Negara Belanda/Indonesia mempunyai kedaulatan ke atas kedua-dua pulau tersebut berdasarkan asas bahawa mereka mewarisi hak milik berkenaan daripada Sultan Bulongan.

Malaysia membuat hujah balas bahawa tiada apa-apa bukti yang menunjukkan Sultan Bulongan mempunyai sebarang kuasa ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan kerana Kesultanan itu berkuasa hanya di atas daratan manakala Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan kedua-dua terletak jauh di lautan, iaitu 42 batu nautika bagi Pulau Ligitan dan 55 batu nautika bagi Pulau Sipadan. Malaysia juga telah mengemukakan bukti yang disediakan oleh seorang pakar sejarah yang mengesahkan bahawa Bulongan hanyalah sebuah Kesultanan kecil di persisiran laut dan jajahan takluknya amatlah terhad.

KEPUTUSAN MAHKAMAH MEMIHAK KEPADA MALAYSIA

Mahkamah tidak mengambil berat hujah Malaysia yang mengatakan bahawa ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan kerana mewarisi hak milik secara turuntemurun menerusi satu siri perjanjian. Tetapi ICJ mengiktiraf bahawa memang benar Malaysia telah berkelakuan sebagai tuan empunya Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan sekian lama dan telah melaksanakan tugas-tugas sebagai pentadbir ke atas pulau-pulau tersebut.

Mahkamah menyatakan bahawa langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia, termasuklah membuat peraturan dan kawalan terhadap pengutipan telur penyu di Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan dan juga penubuhan kawasan rizab burung di Sipadan, perlulah dilihat sebagai tingkah laku seorang pengawal yang mempunyai kuasa membuat peraturan-peraturan pentadbiran (effectivites) ke atas wilayah-wilayah yang disebut nama-namanya secara jelas.

Mahkamah membuat kesimpulan bahawa langkah-langkah tersebut dan beberapa aktiviti lain yang dijalankan oleh Malaysia, walaupun tidak banyak, merangkumi tempoh masa yang agak lama dan menunjukkan satu corak kelakuan yang menzahirkan niat hendak melaksanakan fungsi-fungsi sebagai Kerajaan yang memerintah ke atas kedua-dua pulau berkenaan. Walhal effectivites yang dikemukakan oleh Indonesia tidak mencukupi syarat untuk menzahirkan niat atau azam yang serupa terhadap pulau-pulau itu.

ICJ menurunkan penghakimannya pada 17 Disember 2002, dan dengan undi majoriti 16 berlawan 1, Mahkamah memutuskan bahawa kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan adalah kepunyaan Malaysia.[3]

Oleh yang demikian, nyatalah bahawa Malaysia telah memenangi kes ini atas asas effectivites nya bersabit dengan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, dan bukan atas asas ia mewarisi hak milik turuntemurun menerusi satu siri perjanjian dengan negara-negara lain yang berkepentingan di kawasan itu.

[3] Penghakiman, 17 Disember 2002, perenggan 150.

CAMPUR TANGAN OLEH FILIPINA

Di sini, pembaca dibawa menjejak kembali masa untuk mengikuti kisah tindakan Filipina yang cuba campur tangan dalam kes antara Malaysia dan Indonesia ini.

Semuanya bermula pada 22 Februari 2001, apabila Filipina membuat permohonan kepada ICJ untuk memperoleh salinan memorandum Indonesia dan memorandum Malaysia di saat-saat terakhir sebelum kedua-dua pihak selesai menyediakan semua memorandum bertulis yang perlu diserah kepada ICJ. Kedua-dua Malaysia dan Indonesia membantah permintaan yang dibuat oleh Filipina. Pihak Mahkamah seterusnya menolak permohonan dari Filipina itu.

Setelah gagal memperoleh dokumen-dokumen yang ditukar antara Malaysia dan Indonesia, Filipina mengambil langkah seterusnya untuk melibatkan negaranya secara terus menerus sebagai parti yang berkepentingan di dalam kes ini. Untuk tujuan ini, pada 13 Mei 2001, Filipina memfailkan permohonan untuk campur tangan dalam prosiding di hadapan Mahkamah.

Filipina membuat permohonan itu di bawah peruntukan Artikel 62 Statut ICJ, seperti yang dipetik di bawah ini:

  • Seandainya sebuah negara berpendapat bahawa ianya mempunyai kepentingan, yang ada asas dari segi undangundang, yang mungkin akan terjejas oleh keputusan dalam kes berkenaan, maka negara itu boleh meminta kebenaran daripada Mahkamah untuk campur tangan.
  •  Adalah menjadi hak Mahkamah untuk membuat keputusan tentang permintaan tersebut.
Malaysia dan Indonesia kedua-duanya mendaftarkan bantahan mereka terhadap permohonan Filipina. Berikutan bantahan itu, ICJ mengadakan Perbicaraan Lisan khas untuk menimbangkan permohonan campur tangan dari Filipina itu. Perbicaraan Lisan berkenaan telah diadakan di Mahkamah di The Hague dari 25 hingga 29 Jun 2001.

Semasa Perbicaraan Lisan, Filipina dengan jelas menyatakan bahawa permohonan negaranya supaya dibenarkan campur tangannya dalam kes ini adalah untuk mencapai dua tujuan: pertama, untuk mengekalkan tuntutannya bahawa Filipina berkuasa dan mempunyai kedaulatan ke atas Borneo Utara dan kedua, untuk memaklumkan kepada Mahkamah bagaimana tuntutannya ke atas Sabah boleh menjadi terjejas selepas Mahkamah membuat keputusannya dalam kes di antara Malaysia dan Indonesia mengenai Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan.

Filipina juga memaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka bukannya berhajat membuat sebarang tuntutan terhadap Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan. Mereka cuma mahu melindungi kepentingan negara mereka apabila Mahkamah akhirnya membuat keputusan tentang siapa mempunyai kedaulatan ke atas kedua-dua pulau tersebut yang sedang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia.

SEJARAH TUNTUTAN FILIPINA TERHADAP SABAH

Pada tahun 1962, Filipina telah mengambil beberapa langkah untuk mendedahkan tuntutannya ke atas Sabah, dalam konteks sebuah kempen membantah penubuhan Persekutuan Malaysia.

Dalam tahun tersebut, seorang yang bernama Mohammad Esmail Kiram, yang mengaku dirinya Sultan Sulu dan kononnya bertindak atas nasihat dan kebenaran Ruma Bechara yang juga samar-samar kesahihannya, telah menandatangani bersama-sama dengan Emmanuel Perez, ketika itu Naib Presiden dan Setiausaha Hal- Ehwal Luar Filipina, satu watikah penyerahan yang kononnya menyerahkan wilayah Borneo Utara kepada Republik Filipina. Peristiwa itu, mengikut hujah Filipina, telah menguatkuasakan satu pemindahan kedaulatan ke atas Sabah daripada Sultan Sulu kepada Republik Filipina.

Dalam tahun 1968, pegawai-pegawai Malaysia dan Filipina bertemu di Bangkok untuk membincangkan bagaimana Filipina boleh menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah secara persahabatan dan dalam suasana yang terhormat. Walau bagaimanapun, perbincangan tersebut gagal kerana Delegasi Filipina mendesak supaya perkara itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi memperoleh keputusan.

Dengan cara menggunakan peruntukan di bawah Artikel 62 Statut ICJ, maka dalam tahun 2001 Filipina akhirnya mendapat harinya di Mahkamah yang ditunggu-tunggu itu, walaupun dapat masuk melalui pintu belakang.

Semua yang hadir di Mahkamah ketika Perbicaraan Lisan sedar dengan segera bahawa asas perundangan yang diguna oleh Filipina memohon campur tangan di dalam kes ini rupanya sangat lemah. Tetapi Filipina telah berjaya menggunakan kehadiran mereka di Mahkamah bagi menerangkan secara terperinci, dan memasukkan

ke dalam rekod Mahkamah, butir-butir mengenai tuntutan Filipina ke atas Sabah.

JAWAPAN MALAYSIA MEMATAHKAN HUJAH FILIPINA MENUNTUT SABAH

Walaupun tujuan Perbicaraan Lisan di hadapan Mahkamah itu hanyalah untuk mendebatkan sama ada Filipina layak atau tidak campur tangan dalam kes antara Malaysia dan Indonesia, Delegasi Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menyanggah dakwaandakwaan yang dibuat oleh Delegasi Filipina mengenai tuntutan mereka ke atas Sabah walaupun perkara itu tiada kaitan dengan isu kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan.

Delegasi Malaysia memberi penjelasan kepada Mahkamah mengapa Malaysia menolak sama sekali dan tanpa syarat apa jua tuntutan yang dibuat oleh Filipina ke atas Sabah. Malaysia memohon Mahkamah mencatat hakikat bahawa hujah-hujah yang dikemukakan oleh Delegasi Filipina mengandungi berbagai-bagai kecacatan manakala, dari segi wilayah, lingkungan kawasan sebenar yang dituntut oleh Filipina tidak jelas dan ini menjadikan objek tuntutan berkenaan sangat samar-samar.

Malaysia memaklumkan kepada Mahkamah bahawa, sebagai sebuah entiti antarabangsa, Kesultanan Sulu lenyap pada September 1878 apabila Sepanyol akhirnya berjaya menakluki Kesultanan tersebut. Kesultanan berkenaan hapus sama sekali dan tiada lagi wujud sebagai apa jua entiti apabila Amerika Syarikat memansuhkan sepenuhnya Kesultanan itu pada tahun 1936 iaitu apabila Sultan Sulu yang terakhir mangkat pada tahun itu. Selepas itu, waris-waris kepada harta-harta peribadi Sultan menerima sejumlah wang yang sebelum itu dibayar kepada Sultan Sulu. Waris-waris tersebut menerima wang berkenaan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Negeri Borneo Utara pada tahun 1938, yang menjalankan hukuman undang-undang bersabit dengan pemansuhan muktamad Kesultanan Sulu. Semasa membuat keputusan berkenaan, Mahkamah Tinggi itu menjelaskan dengan terang bahawa pembayaran wang warisan itu tiada kena mengena dengan apa jua persoalan mengenai kedaulatan.

Malaysia menjelaskan juga kepada Mahkamah status kedaulatan wilayah Borneo Utara British sebelum dan sehingga tahun 1962. Great Britain dan Jerman mengiktiraf kedaulatan Sepanyol ke atas Gugusan Kepulauan Sulu serta sempadan pengaruh Sepanyol di kawasan itu dalam Protokol Madrid 1885. Di bawah perjanjian yang sama, Sepanyol telah melepaskan semua tuntutannya ke atas Borneo. Selepas itu, Amerika Syarikat — selaku kuasa yang berdaulat ke atas Filipina dan sebagai kuasa pengganti kepada Sepanyol — telah dengan nyata mengiktiraf Protokol Madrid 1885. Amerika Syarikat melafazkan pengiktirafan ini sebanyak dua kali; pertama semasa Pertukaran Nota 1907 dan kedua dalam Konvensyen Sempadan 1930 di antara Amerika Syarikat dan Great Britain.

Malaysia menegaskan kepada Mahkamah bahawa, satu demi satu, perjanjian-perjanjian tahun 1885, 1907 dan 1930 dengan eksplisitnya mengiktiraf bahawa Borneo Utara adalah wilayah British dan bukannya kepunyaan Sepanyol, bukannya kepunyaan Amerika dan bukannya kepunyaan Filipina. Oleh yang demikian, tiada apa yang boleh dilakukan dalam tahun 1962 oleh rakyat biasa (orang-orang yang kononnya waris Sultan Sulu) yang boleh mengubah status kedaulatan Borneo Utara.

Malaysia menekankan kepada Mahkamah adalah sangat aneh sekiranya ada sesiapa yang cuba menyarankan bahawa orang-orang biasa mengakui waris Sultan Sulu yang terakhir boleh menyimpan — dalam simpanan bersama semua anggota keluarga kononnya — kedaulatan ke atas wilayah Sulu yang dimiliki oleh Almarhum Sultan, yang boleh dipindahkan kepada Filipina dalam bentuk satu surat penyerahan peribadi yang ditandatangani dalam tahun 1962.

Namun, itulah teori yang cuba disarankan oleh Delegasi Filipina kepada ICJ.

Seterusnya, Malaysia memaklumkan kepada Mahkamah bahawa dalam tahun 1962 itu juga, satu pilihan raya telah diadakan di Borneo Utara (dan Sarawak) yang mana soal menyertai Malaysia menjadi perkara pokok dalam kempen. Menerusi undi mereka dalam pilihan raya tersebut, penduduk-penduduk Borneo Utara (dan Sarawak) telah membuat keputusan dengan majoriti yang besar menyokong parti politik yang pro Malaysia. Satu Suruhanjaya4 yang ditubuh oleh kuasa yang memerintah Borneo Utara (dan Sarawak) pada masa itu, iaitu Great Britain, juga mencapai kesimpulan yang sama. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat pengesahan yang sama pada tahun 1963,5 iaitu apabila beliau mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keraguan yang sebahagian besar penduduk-penduduk di dalam wilayah Borneo Utara dan Sarawak menyokong agar wilayah-wilayah itu menyertai Persekutuan Malaysia.

Maka demikianlah, Great Britain melepaskan kedaulatannya ke atas Sabah pada tahun 1963, dan pada tahun itu juga Sabah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang baru tertubuh itu.

[4] Laporan Suruhanjaya Penyiasatan, Borneo Utara dan Sarawak (Laporan Suruhanjaya Cobbold).
[5] Laporan Misi ke Malaysia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 1963.

MAHKAMAH MENOLAK PERMINTAAN FILIPINA UNTUK CAMPUR TANGAN

Pada 23 Oktober 2001, ICJ menurunkan penghakimannya mengenai permohonan Filipina untuk campur tangan dalam kes di antara Malaysia dan Indonesia mengenai kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan. Mahkamah membuat kenyataan bahawa Filipina telah gagal memperlihatkan bahawa ia mempunyai kepentingan dalam kes ini yang ada asas dari segi undang-undang yang boleh melayakkan Filipina campur tangan. Maka Mahkamah membuat keputusan tidak membenarkan permohonan dari Filipina itu.

Mahkamah menurunkan Penghakiman seperti tersebut di atas setelah mengadakan pengundian secara rahsia, dan keputusan undi rahsia mengenai perkara ini ialah 16 Hakim menyokong pendapat majoriti dan hanya 1 Hakim yang menentang.

Hakim yang menentang ialah Hakim Oda dan beliau telah menulis satu Pendapat Bertentangan [6] yang antara lain mengatakan beliau menentang hanya bahagian Penghakiman yang tidak membenarkan Filipina campur tangan kerana beliau yakin permintaan Filipina untuk campur tangan dalam kes di antara Malaysia dan Indonesia sepatutnya dibenarkan. Walau bagaimanapun beliau menambah bahawa perselisihan pendapat beliau dengan Hakim-Hakim lain, dalam kes sampingan ini, terhad hanya kepada isu mengenai hak Filipina untuk campur tangan. Hakim Oda menyatakan bahawa undi beliau tidak mencerminkan pandangan beliau tentang kesahihan atau sebaliknya bersabit apa jua tuntutan yang hendak dibuat oleh Filipina ke atas Borneo Utara, atau tentang hujah-hujah Indonesia atau Malaysia dalam kes utama mengenai kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan.

Satu lagi pendapat yang patut diberi perhatian ialah Pendapat Berasingan yang dirakamkan oleh Hakim ad hoc Franck. Beliau mengundi bersama majoriti dan Pendapat Berasingan beliau telah direkodkan sebagai sebahagian daripada Penghakiman Bertulis yang diturunkan oleh Mahkamah. Antara lain, Hakim ad hoc Franck mengatakan dengan jelas bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah pada masa kini berada hanya sebagai satu catatan dalam sejarah kerana, walau apa pun asas yang dikemukakan oleh Filipina, semuanya telah menjadi luput akibat pilihan raya di Sabah pada tahun 1963 dalam mana rakyat Sabah telah membuat keputusan yang sah tentang nasib diri mereka dan masa depan negara mereka.[7]

[6] Pendapat Bertentangan oleh Hakim Oda, 23 Oktober 2001, perenggan 1.
[7] Pendapat Berasingan oleh Hakim ad hoc Franck, 23 Oktober 2001, perenggan 15.

KEPUTUSAN ICJ DALAM KES INI TELAH MENINGGALKAN KESAN PENTING DI ALAM DIPLOMASI DAN UNDANGUNDANG ANTARABANGSA

Apabila Malaysia dan Indonesia menyelesaikan satu pertikaian di antara mereka secara aman dan berasaskan undang-undang antarabangsa, mereka telah melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum itu di Asia Tenggara. Mereka juga telah menunjukkan sebuah contoh cara yang baik untuk menyelesaikan pertikaian antara negara. Cara yang terbaik bagi menyelesaikan masalah-masalah di antara negara biasanya ialah melalui rundingan secara berbaik-baik. Namun begitu, di dalam keadaan yang wujud pada ketika itu, persetujuan mereka supaya merujuk isu kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan untuk diputuskan oleh ICJ terbukti menjadi pilihan terbaik bagi kedua-dua Malaysia dan Indonesia.

Permintaan yang dibuat oleh Filipina untuk campur tangan telah menerbitkan satu situasi yang tidak disangka. Buat kali pertama, isu tuntutan Filipina ke atas Sabah telah dikenakan penelitian undang-undang di Mahkamah walaupun secara tidak langsung. Dan penelitian ini telah mendedahkan fakta bahawa objek sebenarnya yang dituntut oleh Filipina adalah tidak jelas dan persembahan Delegasi Filipina di hadapan Mahkamah mengandungi beberapa percanggahan antara hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka. Keputusan ICJ menolak permintaan Filipina untuk campur tangan, termasuklah pendapat yang ditulis oleh dua orang Hakim, telah mendedahkan dengan jelas iaitu cubaan Filipina memancing simpati pihak Mahkamah mengenai tuntutannya ke atas Sabah telah menemui kegagalan.

Malaysia membantah permintaan Filipina untuk campur tangan, dan dengan itu telah berjaya mencegah Filipina daripada menggunakan Artikel 62 Statut ICJ sebagai platform untuk memajukan tuntutannya ke atas Sabah. Malaysia berpuas hati mendapat peluang untuk menjelaskan kepada Mahkamah bahawa Filipina bukan sahaja tidak ada hak untuk campur tangan dalam kes mengenai Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan, negara itu juga tidak mempunyai sebarang tuntutan yang boleh dibuat daripada Malaysia mengenai Sabah. Malaysia berjaya menjelaskan kepada ICJ, lebih daripada cukup, bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak berasas langsung, baik dari segi fakta mahupun dari sudut undang-undang.

Mula-mulanya permohonan Filipina untuk campur tangan hanya membosankan kerana mengganggu prosiding dan mengalih perhatian Mahkamah daripada perkara pokok, iaitu untuk menyelesaikan pertikaian antara Malaysia dan Indonesia. Akhirnya, Filipina bukan sahaja tidak memperoleh kebenaran untuk campur tangan tetapi telah juga mengalami kerugian besar — dari segi diplomasi dan juga dari sudut undang-undang — akibat cubaannya menghidupkan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah.

PENUTUP

Malaysia telah mencapai kemenangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa — di peringkat awal dalam fasa campur tangan (Indonesia/Malaysia/Filipina) dan seterusnya dalam fasa merit (Indonesia/Malaysia) — kerana Malaysia mempunyai kes yang baik, dan telah menyampaikan hujah-hujah secara lengkap dan teliti. Kejayaan ini dicapai kerana wujudnya semangat kerja berkumpulan yang baik, termasuk kerja-kerja penyelidikan yang memakan masa bertahun-tahun yang melibatkan pemeriksaan ribuan dokumen dan peta-peta zaman dahulu. Kerja penyelidikan ini telah dilakukan di arkib-arkib dan simpanan rekod di Sabah, Semenanjung Malaysia, United Kingdom, Amerika Syarikat, India dan Belanda oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri termasuk Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara yang disebutkan di atas, Jabatan Arkib Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Angkatan Tentera Laut, Agensi-Agensi Kerajaan yang lain dan juga beberapa sarjana dan sejarawan dari universiti-universiti di dalam dan luar Malaysia.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berfungsi sebagai penyelaras utama dalam penyediaan dan pembawaan kes ini ke ICJ. Ketua Pasukan Malaysia, semada Perbicaraan Lisan di hadapan 17 Hakim-Hakim Mahkamah pada Disember 2002, ialah Abdul Kadir Mohamad dalam kapasitinya sebagai Agen Malaysia di ICJ dan Duta Besar Tugas-tugas Khas di Kementerian Luar Negeri. Noor Farida Ariffin, Duta Besar Malaysia di Netherlands, bertugas sebagai Agen-Bersama.

Komponen antarabangsa Pasukan Malaysia terdiri daripada: (i) Sir Elihu Lautherpacht CBE,QC, Profesor Kehormat Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Cambridge, (ii) Mr. Jean-Pierre Cot, Professor Emeritus, Universiti Paris, (iii) Professor James Crawford S.C, F.B.A, Professor Undang-Undang Antarabangsa Whewell, Universiti Cambridge, dan (iv) Professor Nicholas Schrijver, Professor Undang-Undang Antarabangsa, Free University of Amsterdam dan Institut Pengajian Sosial, The Hague.

Tan Sri Abdul Kadir Mohamad juga pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri (1996-2001), dan selepas itu beliau dilantik sebagai Duta Besar Tugas-tugas Khas pada tahun 2001. Walau bagaimanapun, pendapat yang dinyatakan oleh beliau dalam artikel ini adalah pendapat peribadi beliau sendiri sepenuhnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kementerian Luar Negeri atau Kerajaan Malaysia.

Nota:

Pembaca-pembaca yang ingin membaca butir-butir terperinci Kes Mengenai Kedaulatan Ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan (Indonesia/Malaysia), termasuklah Permohonan Kebenaran untuk Campur Tangan oleh Kerajaan Filipina, boleh melayari laman web Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Peace Palace, The Hague: http://www.icj-cij.org

RUJUKAN

DOKUMEN ICJ
Versi cetak dokumen-dokumen ICJ yang disenaraikan di bawah ini boleh didapati di Perpustakaan Mahkamah di Peace Palace, The Hague, manakala versi elektronik boleh dilayari dengan mudah di laman web Mahkamah: http://www.icj.cij.org, atau dibaca dalam CD yang disertakan dengan buku ini.

Kes Mengenai Kedaulatan terhadap Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan (Indonesia/Malaysia)

Perjanjian Khas untuk Menyerah kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa Pertikaian di antara Malaysia dan Indonesia Mengenai Kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan 31 Mei 1997

Prosiding Bertulis
Memorial Malaysia, 2 November 1999
Memorial Republik Indonesia, 2 November 1999
Memorial Balas Malaysia, 2 Ogos 2000
Memorial Balas Republik Indonesia, 2 Ogos 2000
Memorial Jawapan Malaysia, 2 Mac 2001
Memorial Jawapan Republik Indonesia, 2 Mac 2001

Prosiding Lisan
(A) PERMOHONAN KEBENARAN UNTUK CAMPURTANGAN OLEH FILIPINA
Rekod kata-demi-kata Penghujahan Lisan yang dibuat oleh kedua-dua pihak semasa Persidangan Terbuka Mahkamah

CR 2001/1, Isnin 25 Jun 2001 (Filipina)
CR 2001/2, Selasa 26 Jun 2001 (Indonesia/Malaysia)
CR 2001/3, Khamis 28 Jun 2001 (Filipina)
CR 2001/4, Jumaat 29 Jun 2001 (Indonesia/Malaysia)

Penghakiman, 23 Oktober 2001, termasuk:
Pendapat Yang Bertentangan oleh Hakim Oda
Pendapat Yang Berasingan oleh Hakim Koroma
Pengisytiharan oleh Hakim Parra-Aranguren
Pendapat Yang Berasingan oleh Hakim ad hoc Weeramantry
Pendapat Yang Berasingan oleh Hakim ad hoc Franck

Ringkasan Penghakiman
Ringkasan No. 2001/3, 23 Oktober 2001

Siaran Akhbar
No. 2001/28 pada 23 Oktober 2001
Mahkamah mendapati bahawa Permohonan Kebenaran Untuk
Campur Tangan Filipina tidak boleh dilulus

(B) PERBICARAAN FASA MERIT (INDONESIA/MALAYSIA)

Rekod kata-demi-kata Penghujahan Lisan yang dibuat oleh kedua-dua pihak semasa Persidangan Terbuka Mahkamah
CR 2002/27, Isnin 3 Jun 2002 Pagi (Indonesia)
CR 2002/28, Isnin 3 Jun 2002 Petang (Indonesia)
CR 2002/29, Selasa 4 Jun 2002 Pagi (Indonesia)
CR 2002/30, Khamis 6 Jun 2002 Petang (Malaysia)
CR 2002/31, Jumaat 7 Jun 2002 Pagi (Malaysia)
CR 2002/32, Jumaat 7 Jun 2002 Petang (Malaysia)
CR 2002/33, Isnin 10 Jun 2002 Pagi (Indonesia)
CR 2002/34, Isnin 10 Jun 2002 Petang (Indonesia)
CR 2002/35, Rabu 12 Jun 2002 Pagi (Malaysia)

Penghakiman, 17 Disember 2002, termasuk:
Pengisytiharan oleh Hakim Oda
Pendapat Yang Bertentangan oleh Hakim Franck

Ringkasan Penghakiman
Ringkasan No. 2002/2, 17 Disember 2002

Siaran Akhbar
No. 2002/39 pada 17 Disember 2002
Mahkamah mendapati bahawa kedaulatan ke atas Pulau Ligitan dan
Pulau Sipadan adalah kepunyaan Malaysia

Penerbitan
Laporan Suruhanjaya Penyiasatan, Borneo Utara dan Sarawak
(Laporan Suruhanjaya Cobbold)
Knebworth House, Hertfordshire, 21 Jun 1962
Dicetak oleh Percetakan Kerajaan, Persekutuan Tanah Melayu,
1962

Laporan Misi Ke Malaysia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,
1963
Rekod Rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York




Source: http://www.un.org/depts/los/clcs_new/submissions_files/mysvnm33_09/mys_re_phl_2009re_mys_vnm_e.pdf

Philippine's Claim to North Borneo Clearly Has No Basis Under International Law

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...