Friday, 12 September 2014

Salleh PROKSI malaya yang melaksanakan agenda malaya di Negara Sabah melalui parti umno-bn

Sebagai anak muda Sabah saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit respon mengenai kecaman dan amukan beberapa pemimpin UMNO Sabah berkaitan kenyataan YB Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengenai 16 September iaitu Hari Malaysia.

Menurut terjemahan Bahasa Melayu daripada artikel Dr Jeffrey dalam Bahasa Inggeris, Occupation Day dimaksudkan sebagai Hari Penjajahan. Saya yakin dan percaya bahawa maksud daripada istilah Occupation tidak membawa maksud secara langsung sebagai penjajahan. Ia lebih merujuk kepada makna pengambialihan.

Walau bagaimanapun, terjemahan media berbahasa Melayu menyebutkan secara jelas sebagai Hari Penjajahan yang menyebabkan Datuk Salleh Said melenting sehingga mengeluarkan perkataan biadap yang pada saya sangat keterlaluan untuk diucapkan oleh seorang pemimpin lama seperti beliau. Seorang pemimpin haruslah sentiasa tenang dan berhemah dalam mengeluarkan ucapan.

Saya memberi respon kali ini bukan kerana saya ahli STAR pimpinan Dr Jeffrey. Namun saya ingin menyatakan pandangan sebagai anak jati Sabah. Beberapa tahun sebelum ini, 16 September hanya disambut sebagai Harijadi TYT. Bahkan pada zaman penggiliran Ketua Menteri yang sepatutnya tidak boleh dilaksanakan kerana ia tidak selari dengan konsep demokrasi, malah di luar batas Perlembagaan Malaysia mahupun Perlembagaan Sabah. Anehnya salah satu Ketua Menteri dalam sistem penggiliran ini ialah Datuk Salleh Said sendiri. Sedarkah beliau semasa pimpinan beliau, Hari Malaysia tidak pernah diraikan? Jadi saya tidak fikir beliau layak memberi komen berkaitan Hari Malaysia kerana sebagai pemimpin nombor satu Sabah ketika itu, tiada apa yang beliau perjuangkan untuk Sabah.

Saya juga tidak memahami alur pemikiran Datuk Salleh yang mengatakan bahawa 31 Ogos 1957 ialah permulaan Kemerdekaan Malaysia sedangkan pada waktu itu, Malaysia belum pun wujud. Bahkan lebih tepat lagi Malaysia tidak pernah pun merdeka kerana Malaysia tidak pernah dijajah. Hanya Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai negara-negara yang akhirnya membentuk Malaysia sahaja yang pernah dijajah dan sudah tentunya pernah merdeka. Agak lucu juga saya membaca kenyataan beliau yang mengambil contoh Amerika Syarikat. Sedangkan keadaannya jauh berbeza. Ketika Hawaii menyertai Amerika Syarikat, nama Amerika Syarikat sebagai sebuah negara merdeka sudah pun wujud dan diterimapakai secara kukuh. Jika Hawaii tidak menyertai Amerika Syarikat, Amerika Syarikat tetap berdiri sebagai sebuah negara. Sedangkan pada 31 Ogos 1957, jelas merupakan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan bukannya Malaysia. Malaysia hanya wujud ketika persetujuan penggabungan. Jika Sabah, Sarawak dan Singapura tidak menandatangani Perjanjian Malaysia sudah pasti nama Malaysia tidak akan pernah wujud di peta dunia sehingga kini.

Saya ingin mengajak Datuk Salleh dan semua pemimpin serta penyokong UMNO yang berada di Sabah. Mari kita renungkan sejenak dan buatlah perbandingan secara ilmiah dan bukannya emosi semata-mata. Jika kita marah apabila disebutkan perkataan penjajahan, cuba kita nilaikan kedudukan Sabah ketika ini apakah dengan bergabung dalam Malaysia kita menjadi semakin baik atau sebaliknya. Sebagai perbandingan pertama, pada tahun 2010, Bank Dunia mengeluarkan senarai 10 negara terkaya dunia yang mana dua daripada negara tersebut adalah negara-negara yang bersama atau hampir bersama-sama membentuk Malaysia iaitu Singapura pada kedudukan ketiga dan Brunei pada kedudukan kelima. Ironinya, pada tahun yang sama Sabah diiktiraf pula oleh badan dunia yang sama sebagai negeri termiskin di Malaysia. Bayangkan betapa miskinnya Sabah kerana Malaysia pun tidak tersenarai langsung sebagai 10 negara terkaya dunia. Bermakna Malaysia antara negara yang tidak kaya atau bahasa mudahnya negara miskin. Lebih menyedihkan dalam negara miskin itu terdapat pula negeri yang lebih miskin iaitu Sabah. Di mana silapnya penggabungan ini? Penggabungan yang sepatutnya memberi harapan baru kepada rakyat Sabah.

Sedangkan Sabah antara negeri pengeluar minyak yang terbesar di Malaysia. Sejak kewujudan Petronas, Malaysia telah mengaut RM431 Bilion dan lebih kurang 35% hasil itu datangnya daripada sumber minyak Sabah. Sayangnya kerana penggabungan Malaysia Sabah cuma mendapat 5% bayaran tunai daripada keseluruhan hasil minyak Sabah. Pemimpin menjustifikasikan keadaan ini dengan mengatakan bahawa Sabah diberikan pelbagai bentuk bantuan lain berupa peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Jika ini benar, mengapa Sabah jadi negeri termiskin? Mengapa jurang pembangunan amat jauh ketara antara Sabah dan Semenanjung Malaysia? Ketika rakyat Malaysia di Semenanjung bermegah dengan LRT, Komuter, Monorel dan sebagainya, anak Malaysia di Sabah masih dengan keretapi zaman penjajahan British. Ketika anak Malaysia di Semenanjung bergembira dengan keindahan dan keluasan lebuhraya, anak Malaysia di Sabah masih bergelumang lumpur di jalanan, bahkan dengan jalan utama bertar juga berlubang di sana sini. Ketika anak Malaysia di Semenanjung Malaysia bergembira di taman-taman tema yang canggih dan indah, anak Malaysia di Sabah masih ternanti-nanti kehadiran FUN FAIR. Inikah Malaysia yang pemimpin Sabah terdahulu impikan?

Selain itu, Sabah dengan keluasan 71,613 km persegi yang dilimpahi nikmat kesuburan tanah dan cuaca yang baik, agak menghairankan kita tidak berjaya meningkatkan kekayaan anak Sabah yang hanya 3.2 juta populasi. Ataukah kerana dengan Malaysia, memberi justifikasi kepada FELDA untuk menguruskan 590,824 ekar tanah Sabah dan hanya memberikan sewaan kepada Kerajaan Sabah sedangkan Kerajaan Sabah kehilangan hak untuk menguruskan tanah itu agar hasilnya, 100% untuk rakyat Sabah agar rakyat Sabah khusunya anak-anak muda tidak perlu lagi menjadi kuli di Singapura, Brunei bahkan di Tanah Melayu sendiri?

Sehingga hari ini, kuasa Ketua Menteri Sabah juga kita ragui kerana sebagai ahli parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan, pastinya Ketua Menteri Sabah tidak boleh lari daripada konsep konflik kepentingan antara menjaga hak Sabah dan menjaga jawatan dan kedudukan dalam parti dan kerusi pentadbiran. Adakah ini juga antara impian pemimpin terdahulu untuk melihat pemimpin utama Sabah sekadar boneka? Ketua Menteri juga bersetuju bahawa Malaya antara entiti yang membentuk Malaysia. Di manakah sudah Malaya kini?

Nah, kepada Datuk Abdul Rahim Ismail, jangan tanya siapa Dr Jeffrey tetapi tanyalah kepada semua anak Sabah yang memahami hakikat keadaan Sabah kini, jauh di lubuk hati mereka, apakah Sabah megah dan hebat dalam Malaysia? 

Semoga beberapa contoh perbandingan yang saya sebutkan di atas mampu membuka minda dan pemikiran kita. Saya boleh berikan lebih banyak contoh lain tetapi lebih baik sekiranya Datuk Salleh Said dan Datuk Abdul Rahim tentukan tempat pertemuan, jika lebih baik disebutkan sebagai dialog terbuka, saya pasti tidak akan ragu-ragu untuk hadir. Saya mungkin sangat muda dan kelihatan enteng, tetapi zaman ini anak muda bukan lagi anak muda pak turut yang hanya mengangguk atau menggeleng. Tetapi zaman ini zaman teknologi maklumat. Banyak perkara didominasi oleh kuasa maklumat. Tidak semudah itu untuk membohongi kita lagi seperti waktu-waktu yang sudah.

Selepas perbandingan yang saya buat ini, jika perkataan Hari Penjajahan itu kedengaran amat ekstrim, kita ertikanlah Occupation Day itu sebagai Hari Pengambilalihan hak Sabah. Sama-sama kita mencari jawapan, apakah Malaysia ini sekadar untuk menjustifikasikan pengambilalihan sumber minyak Sabah? Apakah Malaysia ini sekadar untuk memberikan ruang kepada Persekutuan membuka tanah-tanah di Sabah? Atau melalui kebenaran khas Datuk Harris Salleh maka Sabah kehilangan hak terhadap Labuan yang juga dilimpahi sumber kekayaan minyak? Jika begitu walau apa pun istilah yang kita gunakan ia sebenanrnya membawa makna yang hampir sama. Mungkin juga menghampiri kebenaran kata-kata Bung Karno yang pernah mengatakan pentadbiran kolonial ini hanya dipindahkan dari London ke Kuala Lumpur. 

Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia kita tentunya sayangkan Malaysia yang sudah pun berusia setengah kurun. Jika ada pemimpin yang tidak senang dengan istilah penjajahan, maka kembalikan hak Sabah yang sepatutnya, khusunya kuasa pemerintahan dengan autoriti nyata tanpa konflik kepentingan dan juga kuasa mengurus hasil bumi serta kewangan sendiri. Hanya inilah kunci untuk kita selamatkan Malaysia kerana Malaysia hari ini tentunya bukan Malaysia yang diimpikan pemimpin terdahulu khusunya pemimpin yang terlibat dalam Tragedi Double Six. Apa sahaja sistem yang kelihatan lebih kepada proses pengambilalihan, maka itulah punca kepada wujudnya perkataan penjajahan ini. Jadi jangan salahkan penggunaan istilah ini tetapi sama-sama kita fikirkan mengapa istilah ini terluah akhirnya.

Source: Hasmin Azroy Abdullah

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...