Wednesday 17 September 2014

Kemerdekaan negara tetap 31 Ogos, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan hari sambutan kemerdekaan negara tetap pada 31 Ogos setiap tahun walaupun terdapat warga di Sabah dan Sarawak kurang bersetuju dengan tarikh keramat berkenaan.

Perdana menteri berkata dengan keseragaman seluruh rakyat Malaysia meraikan hari kemerdekaan pada 31 Ogos, ia dapat menghentikan polemik golongan tertentu yang cuba membezakan hari kemerdekaan negara dengan hari pembentukan Malaysia.

“Saya baca dalam surat khabar ada polemik lagi. Sama ada nak sambut kemerdekaan 31 Ogos atau 16 September. Saya nak mengutarakan pada malam ini bahawa sebagai sebuah negara, kita tak mampu meneruskan polemik ini.

“Saya ingin mencadangkan mulai tahun hadapan kita tak sebut lagi 31 Ogos kemerdekaan kali yang ke berapa. Kita tak kata 57 tahun. Orang Sabah Sarawak kata masakan kita sambut 57 tahun, kita 51 tahun. Polemik ini akan berterusan.
“Sama ada kita di Semenanjung, Sabah atau Sarawak, kita menyambut kemerdekaan 31 Ogos. Tarikh keramat bagi kita,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia ke-51 di Miri Sarawak.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing menerusi satu forum pada bulan lalu berkata, kemarahan rakyat Sarawak tercetus sejak 1960-an apabila Putrajaya terus menekankan 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan Malaysia.

Katanya, kurikulum di sekolah juga tidak menekankan sejarah pembentukan Malaysia sebenarnya apabila terus memberi fokus kepada 31 Ogos bagi tarikh kemerdekaan Malaysia.

"Anak saya sendiri memberikan fakta yang salah. Saya memberitahu mereka Malaysia terbentuk pada 16 September. Mereka tidak mempercayai saya dan berkata ia 31 Ogos.

"Buku teks sekolah dan lagu kita juga tidak mengajar fakta sebenar," katanya.

Najib berkata, pertikaian tarikh demikian bukan saja berlaku di negara ini tetapi di negara maju yang terdahulu merdeka daripada Malaysia.

Katanya, beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) yang diisytiharkan kemerdekaannya sedikit lewat masih mengakui tarikh tunggal kemerdekaan negara itu dan menyambutnya tanpa pertikaian.

“Sebagai contoh, Amerika Syarikat, negeri yang merupakan kumpulan pertama merdeka pada 4 Julai 1776, dengan 13 negeri di AS diisytihar merdeka.

"Negeri lain kemudian. Missouri, Louisiana, Texas, kemudian Hawaii lambat lagi. Tetapi semuanya menyambut kemerdekaan pada 4 Julai. Tidak ada pertikaian," katanya.

Beliau berkata, penekanan kepada 31 Ogos tidak akan sesekali melunturkan sambutan peristiwa pembentukan Malaysia pada 16 September kerana ia tetap menjadi tarikh penting negara.

Katanya, penegasan terhadap keseragaman sambutan itu penting bagi mengelak polemik yang dimainkan pihak tertentu berterusan.

"Bukan bererti 16 September tidak disambut. Kita sambut sebab itu tarikh kelahiran Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

“Tarikh itu bersejarah tetapi hendak mengelak daripada segi polemik, kita kata hari kemerdekaan untuk semua rakyat Malaysia 31 Ogos.

"Sebab itulah tarikh sebenarnya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan tetapi proses pengesahan PBB makan masa, sebab itu tidak dapat 31 Ogos, terpaksa tunggu 16 September," katanya. – 16 September, 2014. 

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...