Wednesday, 13 August 2014

Terjaga Tetapi Terkeliru...

Sabah Untuk Sabahan
Sarawak Untuk Sarawakian

Dua kalimah keramat itu seringkali dilaungkan senada dengan kebangkitan rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Kita telah bangun daripada lena yang panjang. Kita juga telah mula menolak "gula-gula" yang dihulur oleh pemerintah. Kita senada, sehati, sejiwa dan bergerak sama langkah untuk menolak pemerintahan Barisan Nasional. Barisan Nasional sudah terlalu lama memerintah negara dan selama pentadbiran mereka, BN sentiasa memperbodohkan masyarakat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Bahkan pemimpin Negara Sabah dan Negara Sarawak cuma berperanan sebagai boneka dan bersikap pengecut.

Justeru itu, SSKM yang diketuai oleh saudari Doris Jones berperanan penting sebagai satu batu loncatan untuk mengemblengkan seluruh tenaga dan buah fikiran bijak pandai Negara Sabah dan Negara Sarawak, bagi menyokong Gerakan Pembebasan Borneo. Malahan saudari Doris Jones sendiri bergadai tenaga untuk membawa isu ini ke House of Lords, Westminster Parliament di London, UK. Ini adalah bukti yang teramat jelas dan sebagai satu WARNING kepada kerajaan malaysia, bahawa rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak mahukan kebebasan untuk memerintah Tanah Air sendiri.

Sekian lama, sejarah Negara Sabah dan Negara Sarawak terpadam dari tinta sejarah negara. Malahan, banyak perkara tersembunyi telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN terdahulu sehingga kini untuk mengawal tindak-tanduk masyarakat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Bahkan, mereka mencabuli perkara 18/20 sewenang-wenangnya tanpa memikirkan hati dan perasaan penduduk Borneo. Daripada segi agama, mereka banyak kali mempersoalkan cara anutan Kristian seperti isu penyebaran agama Kristian dan isu kalimah Allah, di mana Negara Sabah dan Negara Sarawak sentiasa menerima tempias isu-isu tersebut. Padahal, isu-isu agama di malaya sepatutnya tidak membabitkan tanah Borneo selari dengan perkara 18/20 yang telah lama termetrai.

Begitu juga dengan perkara 8, Borneonisation, di mana pada masa sekarang, sepatutnya penjawat awam di Negara Sabah dan Negara Sarawak diketuai oleh orang-orang tempatan dan bukan pegawai dari malaya. Malangnya pada sesi soal jawab parliamen baru-baru ini, masih terdapat lebih 30 peratus penjawat awam Negara sabah dan Negara Sarawak yang masih lagi dikuasai oleh orang dari malaya. Malahan usul untuk mengkaji perjanjian malaysia oleh MP Penampang, Darell Leiking telah ditolak mentah-mentah seolah-olah tiada ruang dan peluang untuk suara kita berkumandang di parliamen malaysia.

Sebab itulah, mengapa rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak sudah reti untuk menzahirkan rasa benci dan dendam terhadap keseluruhan pimpinan BN. Rakyat mula berdiskusi/berbincang secara ilmiah dan professional untuk bersatu menolak regim BN dan sekutu-sekutu mereka. Jika kita menolak BN, jadi parti apakah yang kita akan undi selepas itu? Senang sahaja bagi yang masih kurang faham tentang erti sebenar perjuangan SSKM, undi mereka akan beralih kepada Pakatan Rakyat. PR baru-baru ini sudah mula memancing hati penduduk borneo. DAP, PKR dan juga PAS sudah mula menawarkan "bantuan" untuk mengembalikan hak hak borneo termasuklah royalti minyak.

Jika ada yang tertipu, maka golongan inilah diantara "pengkhianat" perjuangan SSKM yang terkeliru. Ideologi SSKM ialah mahu Negara Sabah dan Negara Sarawak berupaya memerintah sendiri ataupun mempunyai kuasa autonomi sepenuhnya. Jika mahu mencapai hasrat itu, satu perkara penting yang mesti orang Borneo ketahui, kita mesti menolak kesemua parti politik daripada malaya. Jika tidak, kita boleh diumpamakan seperti keluar dari mulut harimau, masuk pula ke dalam mulut buaya dan perjuangan SSKM akan menjadi sia-sia. Biarpun, kita belum pernah diperintah PR, tiada sebab untuk kita membazir masa semata-mata mahu mencuba nasib.

Buat masa ini, lagi bijak jika penduduk borneo cuma memangkah parti yang memperjuangkan hak hak Negara Sabah dan Negara Sarawak ataupun mana-mana parti yang tidak dipengaruhi oleh ideologi parti daripada malaya. Sebagai contoh, bolehkah kita memangkah undi untuk pemimpin BN yang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan SSKM? Jawapannya, tidak boleh! Jika kita masih memberi undi kepada mereka, kita seperti masih mahukan BN menang dan memerintah. Jika benar mereka mahu berjuang bersama kita, mengapa mereka tidak keluar daripada parti BN yang tidak menghormati ketinggian nilai perkara 18/20?

Bagaimana pula dengan mengundi PR? Pendapat peribadi saya mengatakan, dengan memberi undi kepada PR, kita seolah-olah mencipta sebuah jalan yang samar samar. Secara rasionalnya, PR tidak akan membantu kita untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah Negara. Mereka cuma boleh membantu kita dari segi royalti minyak. Kesimpulannya, buat apa mereka mahu membantu kita, jika satu hari nanti, jika mereka memerintah, mereka akan kehilangan besar sumber kewangan yang selama ini kita telah sumbangkan dari tanah Borneo in. Jadi, kita patut memberi undi kepada Parti Tempatan jika tiada pilihan lain. Parti STAR adalah antara parti tempatan yang patut diberi peluang. Buat masa sekarang, ideologi mereka masih lagi senada dengan misi SSKM dan memberi peluang kepada parti tempatan, ini bermaksud kita boleh "membeli" masa untuk SSKM mengumpul petition yang secukupnya sebelum SSKM membawa misi ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Note:
1. Gambar kedua diambil dari FB saudari Doris Jones.
2. Sila lapangkan diri untuk sign petition: http://www.gopetition.com/petitions/sabah-sarawak-rights/sign.html

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...