Monday, 15 September 2014

"Keluar Dari Malaysia"

Satu petikan berita:

"Sejak kebelakangan ini, saya dapati banyak 'posting' di Facebook yang agak keterlaluan, yang boleh dianggap sebagai kegiatan subversif atau melanggar Akta Hasutan, terutama yang ada kaitan dengan perbuatan membakar semangat atau mengajak rakyat untuk mengeluarkan Sabah daripada Malaysia atau Persekutuan." -- Majlis Tertinggi UMNO Sabah

Jangan tanya kenapa ikan-ikan dalam akuarium mahu melompat keluar dari akuarium. Tanya si-penjaga akuarium kenapa ikan Sarawak tercungap-cungap tak cukup oksigen. Tanya juga kepada si-penjaga akuarium kenapa dia bagi ikan jenis PATI masuk ke dalam akuarium untuk berebut makanan dengan ikan Sabah. Banyak lagi soalan-soalan perlu ditanya kepada si-penjaga akuarium.

Kalau tak terjawab soalan-soalan di atas, jangan salahkan ikan-ikan kalau mereka nak keluar dari akuarium Malaysia. Akuarium berpuaka. Sana-sini panas, retak menanti belah. Terburai juga akhirnya nanti tangki air. Barack Obama pun tahu Malaysia akan pecah.

Itu analogi paling mudah yang pakcik boleh fikirkan untuk kefahaman sesetengah pemimpin yang otak udang. Pemimpin-pemimpin seperti itu semua berlari macam ketam UMNO. Laju memang laju. Tapi tak pernah lurus.

Pakcik tak pernah bengkok. Percaya lah. Selagi itu ada bulan di atas langit selagi itu lah pakcik memancing ikan dalam akuarium Malaysia. Setakat ini dah dapat 5000 ikan. Insha'allah tahun depan boleh dapat 5 juta ikan.

Tiada niat menghasut dalam perjuangan pakcik. Apa yang pakcik lakukan sekarang hanya lah sebagai meneruskan wasiat pemimpin-pemimpin SabahSarawak seawal tahun-tahun pembentukan Persekutuan Malaysia. Pakcik menurut perintah.

Temenggung Jugah sudah berpesan, Malaysia hanya manis pada nama tapi pahit pada realitinya. Tun Mustapha sudah tahu pahitnya. Dia mahu bawa Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia. Stephen Kalong Ningkan juga tahu Malaysia adalah Big Mistake. Tun Fuad juga membantah Malaysia Scam.

Pemimpin-pemimpin SabahSarawak cuba perbetulkan Malaysia Plan. Sehingga ke hari ini SabahSarawak masih berusaha membuat pembetulan. Taib Mahmud dan Adenan Satem di Sarawak; Jeffrey Kitingan dan Darrel Leiking di Sabah. Dan ramai lagi! 

Pakcik adalah anak jati Sarawak Bumi Kenyalang. Ia menjadi tanggungjawab pakcik untuk meneruskan perjuangan pemimpin-pemimpin lama Borneo. Pendek kata, pakcik menurut perintah, pemegang amanah.

Hanya pengkhianat Sarawak dan pengkhianat Sabah yang tidak akan perjuangkan pesanan Bapa-Bapa Kemerdekaan kami. 

Labuan sudah dirampas oleh Malaya. Bintulu Port sudah jatuh ke tangan Malaya. Politik Sabah sudah dikotori oleh manusia jadian buatan kilang-kilang UMNO. Sandakan jadi Mini Manila, Tawau jadi Mini Jakarta. Politik Sarawak menyembah-nyembah Malaya. Hak-hak autonomi SabahSarawak terhakis. Minyak SabahSarawak disedut masuk ke dalam tong biru Malaya. Negeri-negeri di Malaya jadi kaya raya. SabahSarawak jatuh miskin. Bersyukur?! 

Hanya pengkhianat yang akan bersyukur. Kerana mereka hidup di zaman ini sahaja. Apa akan jadi di zaman anak-cucu mereka yang akan datang, mereka tak mahu ambil peduli. Mereka pentingkan diri sendiri. Harapan ibubapa mereka semasa Persekutuan Malaysia dibentuk tidak mereka pedulikan.

Apa yang buat pakcik fedup sangat-sangat dengan pengkhianat-pengkhianat yang pentingkan diri sendiri ini ialah mereka tak berdiam diri. Mereka sebaliknya menghasut rakyat SabahSarawak supaya:

1) - Bersyukur wilayah Sabah dan wilayah Sarawak jadi tanah jajahan Malaya; 2) - Jangan lawan Malaya, biarkan Malaya ambil minyak kita, jangan kurang ajar; 3) - Malaysia tahun 1963 memang terbentuk seperti yang ada sekarang: 13 negeri dan Putrajaya; 4) - Cina, India dan Bangsa Lain-Lain SabahSarawak tiba di Malaysia hanya dalam abad ke-21 selepas Ordinan Darurat dan ISA digugurkan; jadi mereka tiada hak bersuara di Malaysia.

Pengkhianat-pengkhianat kena bertanya pada diri mereka sendiri, sekiranya mereka masih ada perasaan tanggungjawab. Adakah perkara-perkara di atas yang diharapkan oleh ibubapa datuk nenek mereka dulu semasa bersetuju untuk bercantum dengan Malaya? Adakah mereka mahu anak-cucu mereka mewarisi masa depan yang sudah dirampas Malaya?

Source: 

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...