Salam sejahtera dan salam Kemerdekaan kepada Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak untuk kali ke-51 tahun yang bakal masuk kali ke-52 tahun. Saya Doris Jones, mewakili kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang telah ditubuhkan dalam Facebook dan kini bergerak dibawah naungan sebuah pertubuhan berdaftar secara SAH dengan nama Sabah Sarawak Union (SSU)-UK di bawah bidang Perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland ingin menyampaikan mesej umum yang penting kepada anda semua.
Saya akan bercakap tiga (3) perkara iaitu Perjuangan Bangsa Borneo, Politik dan Agama. Oleh itu, sila berikan peluang kepada diri anda untuk memahami mesej yang ingin saya sampaikan ini.
Perjuangan Bangsa Borneo
Setelah empat tahun yang juga bakal memasuki tahun kelima dalam perjuangan ini, perkembangan kefahaman dan penerimaan ideologi perjuangan SSKM semakin rancak dan telah mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat yang berbeda ideologi kefahaman politik. Tidak salah jikalau saya katakan bahawa perjuangan SSKM ini juga telah mampu satukan semua rakyat dikedua-dua negara sebagai satu entiti Bangsa Borneo. Yang lebih menariknya lagi, kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan malaysia kini sudah kian tergugat dengan segala pendedahan yang telah menelanjangkan sepenuhnya penipuan dan kekotoran politik mereka yang selama ini telah disokong oleh pemimpin-pemimpin tempatan.
Kita semua telah sedia maklum bahawa pemimpin malaya kini sedang berusaha untuk melenyapkan suara dan sentimen kebangkitan Nasionalisme di Negara Sabah dan Negara Sarawak melalui tindakan mereka memutuskan untuk mengekalkan akta hasutan 1948. Dengan itu, kita perlu membuat keputusan yang mustahak sekarang untuk diputuskan. Pertama, adakah kita mahu terus akur dan tunduk kepada ancaman serta ugutan malaya yang didokong oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang selama ini telah dilakukan keatas kita selama 51 tahun? Adakah kita mahu merelakan diri, keluarga, keturunan dan generasi bangsa kita untuk terus diperlakukan sedemikian untuk 50 tahun lagi? Atau kita lakukan satu revolusi kebangkitan Nasionalisme secara menyeluruh untuk sekali dan selamanya secara demokratik melalui tuntutan hak mutlak kita sebagai sebuah Bangsa yang Merdeka dan berdaulat agar generasi dan keturunan kita dapat menikmati kehidupan dibawah pemerintahan Kerajaan Tempatan yang adil dan saksama tanpa perlu lagi berasa takut dengan pemerintahan malaya yang pada waktu itu negara kita sudah bebas daripada persekutuan malaysia dengan malaya. Dimanakah pilihan dan pendirian anda?
Jikalau anda mahu memilih untuk terus akur dan tunduk kepada ancaman serta ugutan malaya, ya, anda akan selamat. Anda tidak akan diapa-apakan. Tidak berlaku penangkapan dan anda boleh teruskan kehidupan anda seperti biasa sebagai bangsa yang terjajah secara halus melalui mental dan fizikal. Dan anda selamanya tidak akan miliki kekuatan untuk menegur mahupun menunjukkan penentangan secara terang-terangan kepada pemerintahan malaya biarpun anda tahu mereka zalim dan tidak adil. Apabila anda sudah tua, anda akan meninggalkan amanat kepada keturunan anda untuk turut sama mengikut langkah anda. Dalam erti kata lain, anda merelakan diri dirogol oleh perogol siang dan malam tanpa sebarang tindakan untuk mempertahankan diri mahupun menghentikan tindakan jahat, hina dan kotor tersebut. Akhirnya hidup anda berakhir dengan satu tragedi yang akan ditutup daripada pengetahuan umum seperti mana yang telah dilakukan kepada pemimpin-pemimpin Nasionalis Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak kita dahulu. Anda lawan malaya, hidup anda akan berakhir. Patuh kepada malaya, anda akan hidup dan meninggal semasa usia tua di katil atau mungkin disebabkan penyakit.
Atau anda BANGKIT sekarang dengan berani bersama-sama dengan yang lain, berdiri teguh kepada pendirian dalam perjuangan untuk mengatakan kepada kerajaan menyamar itu bahawa mereka boleh mengancam nyawa, keluarga mahupun generasi Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak, tetapi mereka tidak mampu mengugat walau seinci pun semangat yang membara didalam diri Bangsa Borneo untuk berjuang untuk menuntut Kemerdekaan dan Kedaulatan daripada penjajahan jijik, hina dan kotor malaya ini. Perjuangan ini juga tidak meminta seinci pun tanah mahupun hak malaya tetapi hanya ingin mengambil sepenuhnya hak Bangsa Borneo tanpa sebarang syarat daripada genggaman malaya. Jikalau rebah ke bumi, biarlah rebah sebagai seorang pejuang dan tidak sesekali sebagai pengkhianat Bangsa dan Negara. Tetapi dalam perjuangan ini, bukan nama yang menjadi rebutan tetapi nasib bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak itu yang menjadi misi utama yang mesti diperjuangkan tanpa sebarang alasan.
Kita bukan tidak pernah memiliki sebuah negara, matawang, mahupun pertahanan negara. Semuanya kita pernah miliki dahulu. Namun perkara tersebut dihilangkan daripada genggaman tangan bangsa kita. Kita tidak akan sesekali merampas hak orang lain tetapi apa yang kita sedang lakukan sekarang adalah hanya untuk mengambil balik kesemua hak milik Bangsa kita kerana hak tersebut bukan milik malaya! Milik Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak!
Politik
Saya akui bahawa diawal pembentukkan persekutuan malaysia, pemimpin-pemimpin kita tidak mempunyai kematangan dalam pengalaman yang cukup untuk mentadbir negara. Pemimpin kita boleh memilih untuk menundakan kemerdekaan dan terus kekal dibawah jajahan British untuk beberapa tahun sehingga bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak benar-benar sudah bersedia untuk merdeka daripada British seperti mana yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negara Brunei. Tetapi pemimpin-pemimpin kita telah termakan pujuk rayu oleh pemimpin-pemimpin malaya serta ugutan demi ugutan daripada pihak yang berkepentingan untuk merealisasikan persekutuan ini. Maka, terjadilah persekutuan malaysia ini. Dijanjikan untuk memiliki kuasa politik untuk mentadbir Negara sendiri, namun disebabkan kekurangan pengalaman, pemimpin-pemimpin tempatan kita telah berdamping dengan sepenuh kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin malaya. Kini, hasilnya anda dapat melihat sendiri pada hari ini.
Demi kuasa politik, mereka mendiamkan pejuang-pejuang Nasionalis Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak dahulu. Menabur fitnah kepada bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara agar membenci pemimpin-pemimpin mereka sehingga rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak menghina segala kebenaran yang telah diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin tempatan. Bangsa kita telah termakan hasutan rasmi daripada malaya melalui kaca televisyen, surat khabar, ceramah dan sebagainya dahulu tentang segala dakwaan dan tuduhan jahat kepada pemimpin-pemimpin tempatan kita. Memporak-porandakan perpaduan Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Melaksanakan polisi yang tidak adil kepada kerajaan yang dipimpin oleh parti-parti tempatan untuk memaksakan mereka menyerahkan hak demi hak jikalau mahu meredakan tekanan politik malaya dan kesannya, hak-hak kita yang sebenarnya merupakan perisai pertahanan sudah terhakis dan berada pada tahap yang sangat kritikal pada saat ini. Contoh yang jelas dapat dilihat ialah di Negara Sabah. Selama parti-parti tempatan yang memerintah, kerajaan malaya yang menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia sentiasa menganggu pentadbiran kerajaan Negara Sabah. Selepas pentadbiran kerajaan parti tempatan jatuh ke tangan parti malaya melalui bn-umno, tiada lagi sebarang gangguan.
Benar, berlaku pembangunan fasiliti kerajaan, kemudahaan infrastruktur dan sebagainya namun perkara itu tidak setimpal dengan apa yang telah mereka rampas secara rasmi mahupun tersembunyi daripada Negara Sabah. Apakah anda yakin bahawa kerajaan parti-parti tempatan tidak berkemampuan untuk melakukan perkara ini semua yang sama dilakukan? Mereka sebenarnya lebih berkemampuan kerana faham apa yang perlu diutamakan namun fokus pentadbiran dan pembangunan diganggu dan halangan demi halangan dilakukan untuk menampakkan seolah-olah kerajaan parti-parti tempatan tidak mempunyai kebolehan untuk melakukannya.
Perkara seperti ini sebenarnya juga berlaku di Negara Sarawak namun pemimpin-pemimpin tempatan Negara Sarawak berjaya menangkis segala bagai cubaan demi cubaan daripada pemimpin-pemimpin malaya. Kerajaan Negara Sarawak sentiasa mempelajari kelemahan pentadbiran Negara Sabah dan atas sebab itulah kerajaan Negara Sarawak sentiasa kukuh ditadbir oleh Kerajaan parti-parti Tempatan meskipun mereka berada dalam komponen barisan nasional. Dengan mempelajari kelemahan pihak lain, ia telah menjimatkan masa dalam memperbaiki dan mengukuhkan diri mereka dalam mentadbir kerajaan Negara Sarawak. Dalam erti kata lain, ia adalah satu tindakan yang sangat bijak dan pintar yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tempatan Negara Sarawak.
Untuk memilih pemimpin Negara, kita perlukan pemimpin yang Nasionalis, berjiwa kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak. Yang tidak akan sesekali tunduk kepada ancaman mahupun ugutan kuasa luar. Di negara Sabah, sedih teramat sedih kerana pemimpin-pemimpin tempatan telah bersubahat dan bersengkongkol untuk menjahanamkan Negara Sabah. Mereka bukan berjuang untuk rakyat tetapi berjuang untuk malaya agar kuasa dan penjajahan terus kekal di bumi Negara Sabah. Kini, PBS, UPKO, PBRS, LDP, MCA, GERAKAN adalah parti-parti penjahanam kepada Kuasa Kemerdekaan dan Kedaulatan Negara Sabah.
Berlainan untuk Negara Sarawak. Mereka tidak keluar daripada BN adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh umno daripada menembusi benteng pertahanan politik. Ini kerana, pengalaman daripada tindakan PBS yang keluar daripada BN dahulu pada tahun 1990an telah menyebabkan kemasukkan umno di Negara Sabah dijadikan iktibar. Selama PBS berada dalam BN, umno tidak berkemampuan untuk menembusi Negara Sabah tetapi disebabkan tidak menerima nasihat dan pandangan, tindakan yang salah telah diambil dan kesannya sehingga ke hari ini.
Agama
Disini, saya ingin tegaskan bahawa perjuangan SSKM adalah berlandaskan kepada kesedaran sejarah yang berfakta dan berbukti. Berlandaskan kepada 20 & 18 Perkara telah menjadi tunjang kepada penyebaran fakta ini.
Dahulunya, perkara Agama tidak pernah menjadi isu yang sensitif dikalangan etnik-etnik yang menganuti agama yang berbeza di Negara Sabah dan Negara Sarawak namun keadaan ini nampaknya sudah berbeza dan tidak salah jikalau saya katakan bahawa kita seoalah-olah sudah menampakkan ciri-ciri sensitiviti malaya di Borneo. Perlu anda ingatkan diri bahawa perkara ini seharusnya dan semestinya tidak sensitif dan mesti di "neutral" kan. Kebebasan dalam beragama adalah milik individu. Tiada sesiapa yang berhak untuk mengatakan tidak kepada mana-mana pihak jikalau mereka ingin menyebarkan ajaran agama mereka kerana itulah yang dituntut dalam ajaran agama masing-masing. Dalam konteks Negara Sabah dan Negara Sarawak, ia jelas dinyatakan dalam Perkara 1. Kita mengiktiraf bahawa Islam adalah Agama Rasmi Kerajaan Persekutuan Malaysia namun perkara tersebut tidak terpakai di Negara Sabah dan Negara Sarawak. Namun, pada tahun 1970an, dibawah pentadbiran kerajaan parti United Sabah Nation Organisation (USNO) dan parti Sabah Chinese Association (SCA), agama Islam sebagai agama rasmi telah dimasukkan dalam Perlembagaan Negara Sabah manakala Kerajaan Negara Sarawak sehingga ke hari ini masih memelihara Perkara 1 untuk tidak memiliki agama rasmi.
Tindakan Tun Mustapha sebenarnya hanyalah bermotifkan politik demi untuk mendapatkan sokongan daripada pemimpin malaya dalam kerajaan persekutuan malaysia namun perkara tersebut tidak berlaku sebaliknya hasil daripada tindakannya itu, kerajaan Persekutuan malaya telah mempergunakan untuk menghasut etnik yang beragama Kristian, Buddha dan Freethought (berfikiran bebas/pagan) untuk menjatuhkannya melalui Parti Berjaya dengan mengatakan bahawa Tun Mustapha adalah anti-Kristian. Selain itu, Tun Mustapha juga difitnah kononnya beliau daripada etnik "Suluk" mahu menjadi "Sultan" di Negara Sabah. Benar, pengislaman pernah dilakukan secara besar-besaran di Negara Sabah dahulu pada zaman pemerintahan mereka (USNO-SCA). Beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian tetapi adalah salah kerana telah menyekat agama lain dalam menyebarkan agama mereka. Ia seharusnya adil tanpa sebarang sekatan. Semua etnik di Negara Sabah juga diwajibkan meletakkan "Bin" dan "Binti". Namun, ia tidak bermaksud bahawa dengan memilikinya, seseorang itu telah bertukar agama.
Kini ia menjadi satu identiti di Negara Sabah tetapi telah disalahtafsir oleh kerajaan persekutuan malaysia yang kononnya mereka yang memiliki "Bin" dan "Binti" itu kesemuanya adalah beragama Islam. Apabila perkara ini ingin diperjelaskan dan dipertahankan tentang sebab pemilikan perkataan tersebut, maka keluar pula suara-suara sumbang daripada NGO rasis dan extremis daripada malaya dengan mendakwa serta menuduh yang kononnya berlaku penentangan kepada Agama Islam. Ingin saya tegaskan bahawa perkara seperti itu adalah tidak benar sama sekali.
Rentak politik umno-bn yang berpaksikan kepada permainan pecah dan perintah (divide and rule), agama dan perkauman/etnik telah lama dilakukan di Negara Sabah.
Selepas Kerajaan BERJAYA (BN) mengambil tampuk pemerintahan Negara Sabah daripada USNO-SCA, Kerajaan PBS (Parti Tempatan) pula telah menumbangkannya setelah beberapa tahun BERJAYA memerintah Negara Sabah kerana telah bersengkongkol dengan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan dasar agenda malaya. Waktu itu jugalah Pulau Labuan diserahkan kepada kerajaan malaya yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia.
Walau bagaimanapun, sekali lagi permainan isu agama dan perkauman telah dimainkan oleh umno-bn yang pada masa itu merupakan kerajaan persekutuan dibawah kepimpinan mahathir dan anwar. Pada waktu itu juga, umno-bn telah menaburkan fitnah kononnya PengKristianan sedang dan telah dilakukan oleh kerajaan PBS. Ditambahnya lagi kononnya PBS adalah anti-Islam dan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus ingin menguasai Negara Sabah dan menindas etnik-etnik lain. Sekali lagi rakyat termakan hasutan.
Apabila pemimpin-pemimpin tempatan yang sudah goyah dengan perjuangan dalam memperjuangkan hak bangsa Negara Sabah serta diselubungi dengan keinginan untuk berkuasa dan miliki kekayaan, maka itulah yang dikatakan berlakunya lompatan keluar daripada parti PBS untuk menubuhkan parti politik masing-masing yang kini kita lihat bahawa UPKO Baru, (dahulunya Parti Demokratik Sabah-PDS), SAPP, PBRS dan selebihnya melompat masuk ke UMNO-BN. Tahun 1994 adalah tahun berakhirnya pemerintahan kerajaan yang demokratik yang dipilih oleh rakyat tempatan di Negara Sabah. Tahun ini jugalah yang mana pengundi projek IC telah memainkan peranan dengan agresif melalui strategi umno-bn. Rakyat telah terpedaya untuk membenci mana-mana pemimpin tempatan yang menentang dasar kerajaan persekutuan malaya yang menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia.
Sekarang anda faham bagaimana isu perkauman dan agama dimainkan oleh pemimpin malaya?
Satu soalan untuk anda jawap dengan jujur. Jikalau seorang Muslim Sabahan/Sarawakian dan seorang Muslim malaya memohon untuk satu jawatan penting dalam kerajaan persekutuan, bagi anda siapakah yang akan diterima? Simpan jawapan tersebut untuk diri-sendiri. Ia sebenarnya tidak pernah memfokuskan kepada agama tetapi kepentingan politik yang telah mempergunakan "agama" sebagai tiket untuk melakukan sesuatu.
Melalui mesej ini, saya berharap anda dapat menyelami keadaan yang sebenarnya berlaku selama ini. Untuk Negara Sabah, tukar kerajaan bukan sesuatu yang menakutkan kerana ia telah dilakukan berkali-kali sebelum ini. Tetapi kali ini, kita tidak mahu hanya sekadar menukar. Kita mahu mengambil balik Kerajaan Negara kita dan menyingkirkan pengaruh malaya daripada Pentadbiran Negara Sabah khususnya. Dengan itu, kita mempunyai kuasa untuk memberikan kata putus dalam menentukan nasib Bangsa dan Masa Depan Negara.
Ingat, Negara Singapura sebenarnya telah meluluskan resolusi untuk menamatkan persekutuan dengan malaya dalam persekutuan malaysia dengan kata sepakat oleh semua pemimpin-pemimpim Dewan Parlimen/DUN Negara Singapore. Perkara tersebut juga boleh dilakukan oleh Kerajaan Tempatan Negara Sabah dan Kerajaan Negara Sarawak. Jikalau anda faham dan sedar apa yang perlu dilakukan, bantulah memberikan kesedaran ini kepada semua Generasi Muda Negara Sabah dan Generasi Muda Negara Sarawak tentang perkara ini.
Yang sudah boleh mengundi pada tahun 2018, sila jangan lupa daftarkan diri anda untuk mengundi. Yang belum pernah mengundi tetapi sudah layak, lakukakan tanggungjawab anda. Jangan biarkan undi anda diambil oleh orang lain yang terhasil daripada kerja jijik dan hina umno-bn melalui projek IC. Dan anak-anak muda, sebarkan kesedaran ini kepada rakan-rakan anda yang lain agar mereka faham dan tahu apa yang perlu dilakukan nanti. Apabila kita mencapai 300,000 tandatangan, kita akan bawakan Suara Borneo ke UN.
Untuk itu, sertailah perjuangan ini!
Join The Fight!
Doris Jones
0 comments :
Post a Comment